Garis masa Pandemik COVID-19 di Sarawak

Pada 13 Mac 2020, Sarawak telah mencatatkan tiga kes pertama COVID-19, dengan tiga pesakit diuji positif di Kuching. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dalam satu kenyataan berkata 2 kes adalah dari kluster yang menghadiri perhimpunan "ijtimak tabligh" di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac. Kes ketiga merupakan ahli keluarga kes kedua.[2]

Pada 14 Mac, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak melaporkan 6 kes baharu direkodkan, menjadikan jumlah kes positif sebanyak sembilan kes. Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata 2 kes baharu direkodkan di Limbang manakala 4 kes baru direkodkan di Kuching. Semua kes baru adalah dari kluster yang menghadiri perhimpunan "ijtimak tabligh" di Masjid Sri Petaling.[3]

Pada 15 Mac, Sarawak mencatatkan 11 kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlahnya sebanyak 20 kes. Antara 11 kes baharu, salah seorang daripada mereka ialah ahli parlimen Sarikei Wong Ling Biu. Beliau diuji positif virus di Hospital Sibu. Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mengarahkan semua ahli parti dan ahli parlimen yang mempunyai kontak rapat dengan Ahli Parlimen Sarikei itu dalam tempoh 14 hari yang lalu untuk kuarantin diri selama dua minggu.[4]

Pada 16 Mac, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Sri Dr Sim Kui Hian berkata 14 kes baharu COVID-19 direkodkan menjadikan jumlah kes sebanyak 34 kes. Antara kes baharu termasuk 6 dari Kuching, 4 dari Betong, 2 dari Sarikei dan masing-masing 1 kes dari Serian dan Simunjan.[5] Salah satu daripada 2 kes dari Sarikei ialah seorang atlet tukul besi kebangsaan Malaysia, Jackie Wong Siew Cheer. Beliau diuji positif virus di Hospital Sibu selepas melawat bapanya, ahli parlimen Sarikei Wong Ling Biu yang juga diuji positif virus pada 15 Mac.[6]

Pada 17 Mac, Sarawak merekodkan kematian pesakit COVID-19 pertama negara. Mangsa telah meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak. Sarawak juga mencatatkan 11 kes positif baharu yang membawa jumlah keseluruhan kepada 45. Daripada 11 kes baru, 6 dari Kuching, 3 dari Limbang dan satu dari Betong Betong dan Lawas.[7]

Pada 18 Mac, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak mengesahkan 5 kes positif bahru COVID-19 dengan 2 pesakit yang dirawat di Hospital Umum Sarawak, 2 di Hospital Sibu dan satu di Hospital Bintulu.[8] Kerajaan negeri Sarawak telah menguatkuasakan langkah-langkah yang bersesuaian dengan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020.[9]

Pada 19 Mac, Sarawak mencatatkan satu kes positif baru di Kuching menjadikan jumlahnya sebanyak 51 kes.[10]

Pada 20 Mac, Sarawak mencatatkan 7 kes baharu COVID-19 yang membawa jumlah keseluruhan kepada 58 kes. Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata kesemua 7 kes yang dilaporkan di Kuching kini dirawat di Hospital Umum Sarawak. 4 daripada kes itu adalah antara kluster yang menghadiri perhimpunan "ijtimak tabligh" di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac. 2 kes adalah kluster gereja tempatan manakala satu lagi kes sedang disiasat.[11] Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah mengenalpasti 4 kluster COVID-19 yang lain, selain perhimpunan "ijtimak tabligh" di Masjid Sri Petaling iaitu kluster Gereja Emmanuel Baptist Kuching, kluster Gereja Good News Fellowship, kluster majlis makan malam pengumpulan dana DAP dan kluster hari Josephian di SMK St Joseph Kuching.[12] Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) telah membuat peranti penjejakan yang akan digunakan oleh mereka yang sedang kuarantin diri di rumah. Peranti itu akan diletakkan pada pergelangan tangan mereka dan kaedah pemetaan digital juga akan digunakan untuk mengenal pasti titik panas jangkitan COVID-19 untuk mengelakkan penyebarannya.

Pada 21 Mac, cawangan Majlis Keselamatan Negara di Sarawak telah mengenal pasti tujuh titik panas berkaitan pandemik, iaitu Serian, Betong, Sarikei, Bintulu, Miri dan Limbang.[13] Pada sebelah petang, dua kematian telah dilaporkan di negeri itu melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun dan anaknya yang berusia 40 tahun.[14] Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak melaporkan 10 kes baharu positif di negeri itu (secara inklusif termasuk yang turut meninggal dunia) menjadikan jumlah sebanyak 68 kes.[15]

Pada 22 Mac, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak merekodkan 8 kes baharu positif COVDI-19 menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 76 kes.[16]

Pada 23 Mac, Sarawak mengumumkan 2 kematian baharu akibat COVID-19 melibatkan seorang lelaki berusia 49 tahun dari Kuching dan seorang wanita berusia 51 tahun dari Limbang. Negeri itu juga mencatatkan 6 kes positif baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 82 kes.[17] Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan pakej perubatan khas RM1.15 juta untuk mengurangkan impak COVID-19 kepada negeri.[18]

Pada 24 Mac, Sarawak merekodkan 5 kes baharu positif dengan 2 kes di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Sibu dan satu di Hospital Miri. Berdasarkan statistik kluster Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, salah satu kes baharu itu di Hospital Umum Sarawak dan dua kes di Hospital Sibu ialah dari perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur manakala dua lagi dikaitkan dengan kluster gereja.[19]

Rujukan

WikiPedia: Pandemik COVID-19 di Sarawak http://www.astroawani.com/berita-malaysia/sarawak-... http://www.astroawani.com/video-malaysia/infografi... http://www.dailyexpress.com.my/news/148753/six-new... http://web.archive.org/web/20200322131020/https://... http://web.archive.org/web/20200322131512/https://... http://web.archive.org/web/20200323122554/https://... http://web.archive.org/web/20200323123440/https://... https://www.bernama.com/en/general/news.php?id=181... https://www.facebook.com/SarawakDisasterInfo https://www.facebook.com/SarawakDisasterInfo/